Tip Dekorasi Penyeri Rumah

Cerah & Ceriakan Dinding Anda

Bila nak memilih warna terang untuk dinding anda, pastel lembut semestinya pilihan yang tepat. Kenapa? Secara tak langsung ia dapat menjadikan sesebuah bilik atau ruang kelihatan lebih luas. Selain itu, ia mewujudkan suasana yang cerah lagi harmoni dalam kediaman anda.
Ramai ingat pemilihan warna putih untuk gaya ‘bersih’ adalah yang terbaik. Pilihan selamat katanya. Ada betul juga, tetapi kalau ia digunakan secara berlebihan, pasti nampak hambar pula.
Apa kata anda cuba rona lain, seperti krim dan kelabu cerah. Untuk menaikkan lagi mood, anda boleh bereksperimen dengan warna kuning cerah atau merah jambu pudar.

‘Hijau’kan Kediaman

Ramai terlepas pandang keindahan alam semulajadi apabila merujuk kepada warna dan cahaya yang masuk ke dalam rumah!
Untuk menerangi dan menyerlahkan kediaman anda, kenalah cuba letak pokok dan tumbuhan segar.
Bayangkan, deretan pasu dengan pokok bunga, tumbuhan tergantung dan melatar dengan daun rimbun pasti menyuntik elemen hijau yang menenangkan.
Tambahan pula, tanaman dalam rumah ini membantu dalam pengaliran udara di dalam rumah.
Cuba gunakan penyangkut pasu dan gantungkan pokok dan tanaman kesayangan anda dalam pasu yang berbeza jenis dan bentuk. Kemudian letakkannya di sudut bilik. Pasti dapat ilham untuk cat dinding pula supaya selari dengan persekitaran hijau tu.
Anda juga boleh meletakkan rak tangga hiasan dan susun pokok anda. Atau beli pokok viral seperti pokok skybird, mostrea atau pisang dan letakkan di mana-mana sudut. Mesti cantik punya!

Bermain Dengan Kontras

Palet warna pastel yang ringkas adalah cara yang terbaik dalam memaksimakan cahaya di dalam rumah. Tapi, tak semuanya mampu menyesuaikan diri dengan kaedah ini.
Itu sebabnya, kontras warna digalakkan. Kena berani guna warna yang berbeza, tetapi saling melengkapi. Gunakan biru lembut atau firus dengan warna putih. Pasti onz punya!
Namun, mainan kontras warna tak semestinya pada latar dan dinding kediaman saja, namun boleh juga diaplikasikan pada pemilihan perabot / kelengkapan yang dipilih dengan teliti agar dapat memberikan anda peluang terus meneroka gaya kontras ini.

Ubah Suai Perabot

Oleh kerana ruang dianggap ciri premium di dalam kediaman kecil, perabot dengan ubah suai tertentu boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Dikenali sebagai perabot pelbagai fungsi, perabot sebegini dapat memberikan anda ruang simpanan tambahan seterusnya mengelakkan apartment nampak sesak dan bersepah. Kalau bijak cari, pasti jumpa punya!
Di luar sana, terdapat set sofa yang juga sebuah katil, atau sebuah rak yang juga meja makan. Bukan saja menjimatkan ruang, tapi jimat duit juga!

Refleksi Cermin

Cermin adalah satu medium hebat dalam ‘menghidupkan’ suasana di dalam rumah. Cermin berupaya menjadikan suatu ruang nampak lebih luas, malah cermin hiasan menyerlahkan keindahan ruang tersebut.
Cuba letak cermin besar di dalam sebuah bilik yang kecil. Ia memberikan ilusi keluasan bilik tersebut berbanding ukuran sebenarnya.
Bila bab memasang cermin, ingat; ianya adalah gambaran atau refleksi apa yang kelihatan di dalam satu-satu ruang. Anda boleh memasang di mana-mana sudut kosong, namun apa tertonjol di dalam cermin tersebut juga sama penting.
Sekiranya anda meletakkan cermin berhadapan sebuah bingkai lukisan yang indah, ia akan memberikan penekanan pada lukisan tersebut, dan begitulah sebaliknya.
Menggantung cermin jauh dari tingkap rumah juga merupakan satu kaedah baik, kerana ia akan meningkatkan jumlah cahaya semula jadi masuk ke dalam bilik.
Ini adalah idea hiasan rumah yang sederhana bagi menerangi sudut rumah untuk lebih selesa didiami.

Dekorasi dinding dalaman

Dinding dalaman ataupun ‘feature walls’ adalah cara terbaik menambahkan warna dalam bilik anda! Mencipta kediaman yang terang dan berangin memanglah syok, tapi adakalanya ia tampak satu dimensi je. Apatah lagi jika anda terbawa-bawa dengan gaya terang dan putih. Dah biasa sangat tu! Bosan dah.

Apa kata sekali sekala anda tampilkan ‘personaliti’ anda pada dinding dalaman tersebut, seperti corak hutan yang sepadan dengan pokok serta tumbuhan yang disebutkan tadi, atau mungkin kertas dinding dengan efek kayu pine yang memberikan ciri semula jadi yang indah untuk melengkapkan warna pastel anda.

Bukan saja ia menambah perisa dalam ruang tersebut, malah ia juga mampu mencipta hubung kait tersendiri dengan konsep dan tujuan bilik tersebut.

Perabot dan material

Gaya reka bentuk dalaman yang seragam kadang kala membuatkan kita mengabaikan pendekatan mix and match, atau padanan perabot dan material yang berbeza-beza. Ingat, anda tak perlu malu bereksperimen apabila mendekorasi.
Okay saja jika kerusi besi diletakkan bersama dengan meja makan dari material kayu tradisional, atau papan tanda PVC diletakkan bersebelahan lampu hiasan bercirikan logam yang menawan.
Jangan takut untuk mencampur adukkan produk hiasan di Malaysia. Berani dan cubalah menggunakan variasi material bagi melengkapkan idea deco anda.

Langsir Dan Tirai

Langsir boleh menambah dimensi lain pada rupa kediaman anda. Semasa memilih langsir, cari warna yang sesuai dengan apa yang sudah tersedia di dalam bilik anda.
Jika cahaya semulajadi matahari dah cukup menerangi bilik anda, elakkan dari menggunakan langsir dengan warna yang cerah, memandangkan ia mudah pudar berbanding yang berwarna gelap.
Bagi kita yang tinggal di iklim tropika, pemilihan langsir dengan fabrik yang ringan membolehkan angin sepoi-sepoi masuk menerusinya.
Di mana tempat anda memasang langsir juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan mood bilik tersebut. Sekiranya anda nakkan ilusi siling yang lebih tinggi di bilik anda, anda boleh menggantung panel tirai beberapa inci di atas tingkap tersebut.
Makin tinggi ia dipasang, lebih power efeknya! Sekiranya anda memilih gaya moden atau kontemporari, pastikan warna langsir serasi dengan lantai.

Permaidani

Permaidani boleh menghubungkan antara ruang di dalam satu kediaman. Mana tidaknya? Dengan pilihan permaidani yang betul, bukan saja anda boleh bermain dengan corak dan warna, malah dengan teksturnya juga.
Pilih permaidani yang serasi dengan palet warna secara umum, dan tak hanya sebati dengan warna di sekitarnya. Ia boleh bercorak geometri yang dapat menangkap mata, atau warna berani yang kontras dengan warna pastel pada dinding.
Ia bukan semata pilihan, tetapi di mana anda meletakkannya juga penting. Pastikan susun atur permaidani tepat dengan konsep rumah, agar tidak kelihatan janggal nanti.

Compare listings

Compare